Tuesday, September 29, 2009

Kasih keluarga membawa ke syurga


Hadis nabi yang bermakud: dari Abdullah bin amru radiallahu anhuma, telah bersabda Rasulullah s.a.w: keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan allah daripada kemurkaan ibu bapa

Ibu dan ayah merupakan dua orang manusia yang banyak menaburkan bakti kepada anak. Bagi seorang ibu sanggup mengandungkan, melahirkan, menyusukan dan mendidik anak-anak sehingga berjaya menjadi seorang manusia yang berguna. Begitu juga seorang ayah sanggup memerah keringat untuk mencari rezeki bagi keluarganya. Jasa mereka tiada nilainya dan tidak mungkin dapat dibalas oleh anak-anak.

Melihat kepada fenomena sekarang ramai anak-anak yan menderhaka kepada ibu bapa. Mereka menanggap ibu bapa menyusahkan dan penghalang kepada segala-gala yang mereka inginkan. Ada yang sanggup menghantar ibu bapa kepada pusat penjagaan orang-orang tua dan lebih kejam ada yang sanggup bunuh ibu bapa sendiri demi harta. Jika dilihat di dada-dada akhbar banyak kes seperti anak mengugut bapa, anak menetak kepala bapa kerana wang dan banyak lagi. Seperti yang pernah berlaku di Kampung Teluk Alur Lintah, Kertih di Kemaman pada 9 Mei lalu apabila pemuda berusia 33 tahun meminta wang tunai sebanyak RM2,000 daripada bapanya untuk membeli pil dan berniaga tetapi permintaannya tidak dipenuhi menyebabkan lelaki tersebut mengugut membakar rumah dan membunuh bapanya.

Menghormati ibu bapa bererti menjaga perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Seorang anak yang menderhaka kepada ibu bapa akan berlaku kesulitan kepadanya samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Pelbagai iktibar dan pengajaran yang dipertontonkan kepada masyarakat melalui kaca tv supaya setiap insan sedar bahawa diri mereka hidup atas dasar kasih sayang ibu dan bapa.

Untuk menbina keluarga yang bahagia agar diredhai Allah perlulah diberi penekanan terhadap beberapa perkara:

i)memberi keutamaan kepada asas pembinaan keluarga iaitu akidah yang kukuh dan keimanan yang mantap kepada Allah

ii)memahami setiap tanggungjawab yang diamanahkan iaitu ibubapa memahami dan mengetahui tanggungjawab dan peranan untuk mendidik anak-anak

iii)mengakui dan bersedia menerima kejadian diri dengan menetapkan suami adalah ketua keluarga dan isteri pula perlu taat kepada suami

iv)memupuk kasih sayang yang berpanjangan antara ibubapa dan anak-anak.

APLIKASI KONSEP MUDHARABAH SEMASA




Mudharabah atau qirad menurut syarak ialah pemilik memberi kepada pengusaha harta untuk diniagakan oleh pengusaha dimana didalamnya terdapat keuntungan untuk dikongsi di antara mereka. Ia temasuk kontrak dalam muamalat Islam di bawah ishtirak iaitu perkongsian. Kini konsep mudharabah banyak dijalankan didalam perbankan terutama yang mempunyai pelaburan secara Islam dan bebas daripada faedah dan riba.


i)Akaun di perbankan Islam

Selain akaun simpanan atas asas wadiah, perbankan Islam juga menawarkan akaun simpanan mengunakan konsep mudharabah (perkongsian untung). Nama produk-produk untuk akaun ini ialah akaun pelaburan umum mudharabah atau akaun pelaburan istimewa mudharabah atau akaun semasa mudharabah.

Menurut konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya untuk mendapatkan peratusan yang lebih besar jika bank berjaya meraih pulangan lumayan. Ia adalah halal dan dipersetujui secara sepakat oleh ulama Islam. Perbezaan konsep pembahagian di sebut oleh Dr. Wahbah Az-Zuhayli didalam kitabnya antara syarat keuntungan ialah mestilah keuntungan yang ditetapkan adalah dalam bentuk juzu’ secara umum.

Deposit yang terkumpul hanya akan digunakan untuk dilabur bagi kegunaan perniagaan bank Islam yang telah dipastikan secara halal dan dilabur bagi membiayai perniagaan pihak ketiga yang juga dipastikan perniagaannya halal. Semua perniagaan ditapis oleh Majlis Penasihat Syariah dan pengurusan bank. Semua keuntungan yang bakal diperolehi adalah harta yang bersih.

Proses pemastian sesebuah produk pelaburan dan wang simpanan menepati syariah, ia dibuat menurut konsep mudharabah dalam dua bentuk iaitu bank melabur ke syarikat luar sebagai rabbul mal iaitu pelabur. Selain itu bank menggunakan wang laburan pelanggan untuk kegunaan projek-projek yang dilaksanakan dengan nisbah untung yang telah ditetapkan di awal kontrak.


ii)Perbezaan pelaburan melalui perbankan konvensional dan perbankan Islam

Perbankan Islam berbeza pelaburan daripada bank bank konvensional dimana setiap produk pelaburan perbankan konvensional, pelabur dijanjikan dengan faedah tetap. Ia sebenarnya aktiviti pinjam meminjam dengan riba.

Manakala produk pelaburan perbankan Islam mempromosikan sistem perkongsian risiko dan untung diantara pelabur dan pengurus dana pelaburan. Tiada kadar keuntungan yang tetap dijanjikan. Keuntungan akan dibahagikan berdasarkan keuntungan sebenar.


3)Sumber keuntungan halal dalam perbankan Islam

Perbankan Islam merupakan satu-satunya yang menawarkan produk pelaburan dan keuntungan secara halal. Pelbagai akad yang digunakan untuk meraih keuntungan halal tetapi asasnya terdapat dua akad yang utama antaranya pelaburan mudharabah.

Pelaburan mudharabah seperti meletakkan sejumlah wang dan dilaburkan ke dalam mana-mana syarikat yang halal untuk melakukan pelaburan. Hasil persetujuan bersama nisbah pembahagian keuntungan disepakati daripada hasil keuntungan akan diberikan kepada pelabur dan syarikat yang dilaburkan. Tiada sebarang jaminan dan janji modal atau keuntungan akan wujud. Semuanya bersifat tidak tentu bergantung kepada prestasi perniagaan yang dijalankan.

Jumlah sebenar pulangan bagi kedua-dua pihak hanya akan diketahui apabila telah lengkap tempoh yang telah ditetapkan. Ketika itu semua hasil pendapatan syarikat untuk tempoh itu akan dikira dan ditolak semua perbelanjaan dan modal asas.

Sebagai contoh jika keuntungan yang diperolehi sebanyak RM 5000, maka 20 peratus daripada RM5000 akan diberikan kepada pelabur. Bakinya akan diambil oleh syarikat yang dilabur. Pendapatan melalui cara ini adalah halal secara sepakat oleh ulama Islam dan kontemporari.

Al-Quran pedoman hidup setiap muslim


Surah al-Baqarah ayat:1-3 yang bermaksud: "alif, lam, mim. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya. Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka."



Al-Quran merupakan panduan hidup kita yang diwahyukan Allah kepada hambanya yang disampaikan oleh Rasulullah (s.a.w) melalui perantaraan Malaikat Jibril. Tidak dinafikan lagi bahawa al-Quran sentiasa terpelihara daripada tangan-tangan yang cuba mencari kesalahan dan memutarbelitkan kandungan yang terdapat di dalamnya, namun apa yang mereka ketemui hanyalah kebenaran semata-mata. Kandungan di dalam al-Quran bukan sahaja mengenai peristiwa lepas malah ia merangkumi peristiwa yang akan berlaku kelak.

Terdapat juga sesetengah pihak yang mengambil kesempatan berkenaan al-Quran dengan memesongkan akidah umat Islam dengan mengelirukan mereka berdasarkan fakta-fakta yang bertentangan dengan Islam contohnya mengatakan al-Quran terdapat kesilapan dan ia merupakan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w seperti yang ditulis seorang paderi di dalam laman web yang mana mengemukan kesalahan yang terdapat pada ayat-ayat al-Quran

Kita seharusnya jangan mudah terpedaya dan mempercayai apa yang diperkatakan mereka. Jika lihat secara dasarnya jika ia ciptaan Nabi Muhammad mengapa ia mengetahui segala apa yang akan berlaku di kemudian hari. Bagi seorang manusia yang dikurniakan akal yang sihat tidak akan mampu untuk menafsirkan peristiwa akan datang malah mengetahui segenap ilmu yang ada di dunia ini. Sebagai contoh jika kita melihat di dalam al-Quran ada menceritakan mengenai kejadian ribut di lautan. Mustahil Rasulullah mengetahui hakikat kejadian tersebut kerana beliau hidup di kawasan pasir dan bergunung-ganang jauh daripada lautan. Ini menunjukkan bahawa al-Quran merupakan wahyu daripada Allah bukan hasil ciptaan Nabi Muhammad. Pelbagai lagi bukti menerusi ayat Quran yang menunjukkan bahawa kandungannya bukan ciptaan manusia.

Al-Quran bukan seperti kitab warisan yang dibungkus kemas untuk dipamerkan, untuk melariskan jualan, mamagari rumah dan sebagainya. Ia merupakan sumber rujukan yang menjadi petunjuk dalam kehidupan di samping berupaya menangani pelbagai halangan dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat. Janganlah mendakwa diri berilmu tetapi tidak membaca al-Quran dalam kehidupan harian.

Banyak pahala yang dijanjikan oleh Allah kepada hambanya yang sentiasa mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam al-Quran. Membaca al-Quran juga dapat menenangkan hati yang dalam keresahan dan memberi petunjuk kepada jalan yang baik. Selagi mana kita berpegang kepada al-Quran nescaya kita tidak akan sesat dan disesatkan. Semoga kita mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran sebagai pegangan dan panduan hidup. Wallahu a'lam...

Saturday, September 5, 2009


Monoteisme: Kekeliruan dalam agama

Terdapat dakwaan mengatakan Islam, Yahudi dan Kristian sebagai agama monoteisme. Falsafah Barat sentiasa berusaha menempatkan agama kepada posisi yang sama. Proses perkembangan agama hanyalah hasil daripada evolusi bermula dengan dinamisme, animisme, politeisme atau henoteisme, lalu membentuk monoteisme yang dikenali sebagai agama tauhid. Menurut perspektif evolutif seperti ini, monoteisme tidak dinilai sebagai kebenaran akhir. Agama masih boleh dianggap menerima perubahan dan perkembangan.

Sebagai seorang muslim kita harus menyakini bahawa agama Islam adalah agama tauhid bukan hasil evolusi pemikiran manusia. Ia adalah agama asal dari wahyu Allah. Sejak Nabi Adam hinggalah Nabi Muhammad s.a.w, konsep tauhid yang dibawa mereka tidak pernah berubah.

Pihak Barat sentiasa mengambil peluang dengan mengelirukan fahaman dalam agama untuk menarik umat Islam terutamanya untuk menganut agama mereka. Mereka sering mengatakan bahawa semua agama adalah sama dari konsepnya iaitu menyembah tuhan. Tetapi jika kita melihat konsep tuhan versi Yahudi jelas tidak sama dengan Islam. Ini kerana Yahudi menganggap tuhan hanya untuk bangsanya sendiri, bangsa lain tidak boleh menyembahnya. Manakala Kristian pula berpegang pada konsep triniti. Hindu pula berpegang pada konsep politeisme kerana memuja banyak dewa.

Oleh itu kita harus percaya dan yakin bahawa Islam adalah agama yang kekal tidak akan berubah kerana ia datang daripada Allah dan Allah akan memelihara agamanya. Jangan mudah terpengaruh dengan anasir yang dibawa oleh Barat sehingga dapat memesongkan akidah yang suci itu. Wallahu a'lam

;;