Tuesday, September 29, 2009

Al-Quran pedoman hidup setiap muslim


Surah al-Baqarah ayat:1-3 yang bermaksud: "alif, lam, mim. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya. Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka."



Al-Quran merupakan panduan hidup kita yang diwahyukan Allah kepada hambanya yang disampaikan oleh Rasulullah (s.a.w) melalui perantaraan Malaikat Jibril. Tidak dinafikan lagi bahawa al-Quran sentiasa terpelihara daripada tangan-tangan yang cuba mencari kesalahan dan memutarbelitkan kandungan yang terdapat di dalamnya, namun apa yang mereka ketemui hanyalah kebenaran semata-mata. Kandungan di dalam al-Quran bukan sahaja mengenai peristiwa lepas malah ia merangkumi peristiwa yang akan berlaku kelak.

Terdapat juga sesetengah pihak yang mengambil kesempatan berkenaan al-Quran dengan memesongkan akidah umat Islam dengan mengelirukan mereka berdasarkan fakta-fakta yang bertentangan dengan Islam contohnya mengatakan al-Quran terdapat kesilapan dan ia merupakan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w seperti yang ditulis seorang paderi di dalam laman web yang mana mengemukan kesalahan yang terdapat pada ayat-ayat al-Quran

Kita seharusnya jangan mudah terpedaya dan mempercayai apa yang diperkatakan mereka. Jika lihat secara dasarnya jika ia ciptaan Nabi Muhammad mengapa ia mengetahui segala apa yang akan berlaku di kemudian hari. Bagi seorang manusia yang dikurniakan akal yang sihat tidak akan mampu untuk menafsirkan peristiwa akan datang malah mengetahui segenap ilmu yang ada di dunia ini. Sebagai contoh jika kita melihat di dalam al-Quran ada menceritakan mengenai kejadian ribut di lautan. Mustahil Rasulullah mengetahui hakikat kejadian tersebut kerana beliau hidup di kawasan pasir dan bergunung-ganang jauh daripada lautan. Ini menunjukkan bahawa al-Quran merupakan wahyu daripada Allah bukan hasil ciptaan Nabi Muhammad. Pelbagai lagi bukti menerusi ayat Quran yang menunjukkan bahawa kandungannya bukan ciptaan manusia.

Al-Quran bukan seperti kitab warisan yang dibungkus kemas untuk dipamerkan, untuk melariskan jualan, mamagari rumah dan sebagainya. Ia merupakan sumber rujukan yang menjadi petunjuk dalam kehidupan di samping berupaya menangani pelbagai halangan dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat. Janganlah mendakwa diri berilmu tetapi tidak membaca al-Quran dalam kehidupan harian.

Banyak pahala yang dijanjikan oleh Allah kepada hambanya yang sentiasa mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam al-Quran. Membaca al-Quran juga dapat menenangkan hati yang dalam keresahan dan memberi petunjuk kepada jalan yang baik. Selagi mana kita berpegang kepada al-Quran nescaya kita tidak akan sesat dan disesatkan. Semoga kita mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran sebagai pegangan dan panduan hidup. Wallahu a'lam...

0 Comments:

Post a Comment