Thursday, October 15, 2009

Undang-undang Islam atau undang-undang Sivil???

Mengenai Kartika yang merupakan seorang model Singapura dijatuhkan hukuman kerana kesalahan minum arak menjadi perbualan hangat di ruang media masa kini. Pelbagai andaian negatif dan positif yang dilemparkan oleh masyarakat mengenai hukuman yang dijatuhkan oleh undang-undang Islam. Ada mengatakan ianya satu hukuman yang kejam tetapi bila dilihat kembali antara hukuman sebat di dalam Islam adalah jauh lebih baik daripada hukuman sivil yang kelihatan agak berat dan menyeksakan.

Hukuman sebatan yang dikenakan kepada bersalah mengikut hukuman Islam ialah merotan sebanyak 80 kali.Rotan tersebut panjangnya hendaklah tidak melebihi 1.22 meter. Tebalnya tidak boleh melebihi 1.25 sentimeter. Ini berbeza berbanding rotan sebatan sivil yang tebal dan keras. Tatacara jurusebat pula ialah menyebat dengan kekuatan sederhana dan tangan dihayun tidak melebihi kepala.

Manakala soal pemakaian dan posisi pesalah pula mengikut undang-undang Islam, pemakaian pesalah hendaklah dijaga dan perlu menutup aurat manakala posisi pesalah lelaki hendaklah dalam keadaan berdiri ketika disebat, perempuan pula disebat dalam keadaan duduk. Jauh berbeza dengan hukuman sivil yang membogelkan pesalah dan hanya dipakaikan cawat semasa sebatan dikenakan. Pukulan yang dikenakan juga menyebabkan pesalah menangung kesakitan yang amat sangat dan menyebabkan kecederaan.

Walaupun hukuman sivil terlalu berat namun jika kita melihat pada situasi sekarang kes-kes seperti berzina,minum arak, riba dan rasuah tidak pernah berkuragan malah semakin meningkat dari semasa ke semasa tetapi undang-undang ISlam yang dilaksanakan pada zaman nabi dahulu memberi kesan yang cukup besar kepada masyarakat kerana masyarakat ketika itu berasa takut hendak melakukan kesalahan.

Undang-undang Islam merupakan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah dan ia amat bersesuaian kepada hambanya dan tidak membebankan kepada hambanya. Wajarlah undang-undang Islam dilaksanakan sepenuhnya agar keadilan rakyat dapat dibela dan masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang tenang dan harmoni.

Saturday, October 10, 2009

Kepentingan pembahagian faraid

Setiap hari ada sahaja berlaku kemalangan yang meragut nyawa. Mungkin mereka terdiri daripada orang yang kita sayangi. Pemergian mereka kadang kala meninggalkan sedikit harta untuk meringankan kehidupan kita selepas ketiadaan mereka. Oleh itu penting faraid dalam membahagikan harta si mati kepada pewarisnya.

Undang-undang pusaka(faraid)merupakan hikmah Allah kepada hambanya. Tanpa penentuan faraid maka akan berlaku kesukaran kepada pewaris si mati. Banyak kesan yang buruk jika tiada ketetapannya seperti berlaku permusuhan dalam keluarga, penganiayaan dan pelbagai lagi. Pada mulanya pembahagian pusaka mrengikut sistem jahiliyyah, sistem semntara berdasarkan sistem persaudaraan dan hijrah kemudian ditukar kepada sistem pembahagian pusaka berdasarkan wasiat kepada ibu bapa dan waris yang lain.

Setiap waris mempunyai bahagian yang telah di tetapkan oleh faraid maka tidak akan timbul perselisihan mengenai pembahagiannya. Oleh itu menjadi fardu kifayah kepada kita untuk mengetahui dan mempelajari ilmu faraid ini serta perlu dijadikan silibus dalam pelajaran sama ada di sekolah ataupun institusi akedemik yang lain.

Hindari politik wang, wujudkan pemimpin yang amanah


Sempena pilihan raya yang hangat berlansung, macam-macam teknik digunakan untuk meraih kemenangan dalam mendapatkan jawatan sebagai pemimpin rakyat. Terdapat segelintir pihak sanggup menggunakan politik wang untuk mendapatkan jawatan sebagai pemimpin. Ini adalah semata-mata untuk kepentingan diri sendiri bukan hendak membela rakyat tetapi inginkan kemewahan hidup dan pangkat untuk kepuasan hidup. Mereka sanggup menggunakan pelbagai taktik kotor seperti rasuah, hasutan dan sebagainya.

Perkara ini adalah bercanggah dengan Islam kerana perbuatan meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara. Seorang pemimpin memikul tanggungjawab yang besar. Ia bukan satu jawatan yang perlu direbut-rebut untuk mendapatkan sanjungan semata-mata. Sahabat Rasulullah yang bernama Abdul Rahman bin Samurah pernah ditegur kerana meminta dirinya menjadi pemimpin. Maka Rasulullah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan


Penggunaan politik wang juga tidak adil kerana pemilihan pemimpin berdasarkan wang tetapi bukan atas sifat kepimpinan yang ada padanya. Akibatnya pemimpin yang benar-benar berkualiti dan mempunyai integriti yang tinggi tidak mendapat mendapat peluang yang sewajarnya.

Pemimpin yang mengamalkan dasar politik wang akan melahirkan pemimpin yang tidak bermaruah, suka melakukan rasuah dan perbuatan keji yang lain. Kebanyakan pemimpin di negara kita banyak didominasikan oleh orang Islam. Jika amalan politik wang ini berleluasa dikalangan mereka maka akan hancur pentadbiran politik Islam dan menyebabkan kekuatan umat Islam akan semakin terkubur, maka pihak musuh akan mencari peluang untuk mempertikaian kedaulatan pemimpin dan undang-undang Islam di negara ini.

Pemimipin yang amanah dan mempunyai gaya kepimpinan yang berkualiti amat diperlukan untuk melahirkan negara yang aman dan rakyat diberikan pembelaan yang sewajarnya. Pemimpin yang baik akan di sanjung dan ditaati oleh rakyat.

Moral pelajar IPT semakin membimbangkan

Gejala yang tidak bermoral seperti berkhalwat,berzina,murtad dan sebagainya sering berlaku kepada anak-anak muda kita terutama dikalangan pelajar IPT. Pelbagai tidakan yang di ambil oleh pihak berkuasa namun tiada tanda ia akan berkurangan malah remaja sekarang semakin berani dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memuaskan nafsu mereka.

Stiap bulan ada sahaja kes yang direkodkn mengenai khalwat dan zina yang dilakukan oleh mahasiswa di kawasan seperti taman rekreasi, perumahan sewa dan hotel. Walaupun mereka merupakan pelajar yang terpilih dan mempunyai ilmu yang tinggi namun masih tidak dapat membezakan antara yang baik dan tidak. Mungkin ini disebabkan kurang ilmu agama dan tiada pengawasan daripada kedua ibu bapa. Mereka bebas untuk melakukan apa sahaja dengan alasan untuk mencari hiburan atau melepaskan tekanan belajar. Begitu juga dengan kes pelajar murtad. Mereka berani mengemukakan kehendak mereka memeluk agama lain tanpa memikirkan risiko yang akan berlaku.

Akibat daripada gejala seperti khalwat dan zina akan mendatangkan masalah lain seperti pengabaian pelajaran, kes pembuanga anak dan mengugurkan kandungan. Begitu juga dengan isu murtad.Isu murtad juga semakin meningkat dikalangan pelajar IPT. ini kerana tiada pendedahan yang mendalam mengenai agama daripada ibu bapa sendiri semasa mereka di rumah dan mereka mengambil tindakan keluar dari Islam untuk bebas daripada undang-undang Islam dan mengatakan Islam susah kerana tiada kebebasan dan ada yang menganggap Allah tidak memberikan perhatian kepadanya menyebabkan ia mencari 'tuhan' lain.

Peranan semua pihak perlu di ambil untuk mengikis perbuatan yang tidak bermoral ini. Hukuman berat perlu diberi kepada mereka yang terlibat. Sesi kaunseling secara berkala juga perlu di beri agar mereka tidak mengulangi perbuatan terkutuk tersebut.

Thursday, October 1, 2009

Palestin, Jihad menentang kezaliman


Korban demi korban dilihat setiap hari di kaca televisyen. Seolah ia satu fenomena biasa di negara Palestin. Perjuangan suci mempertahabkan negara tercinta seakan tiada penghujungnya. Setiap hari kita lihat di kaca televisyen ad sahaja kana-kanak dan rakyat yang tidak berdosa terkorban. Di manakah keadilan dunia sebenar?.

Penentangan Palestin ialah perjuangan fi sabilillah kerana ia hendak mempertahankan tanah air dan menetang kewujudan Negara Israel. Perjuangan jihad inilah yang sekarang berlaku di Gaza dan beberapa tempat di Palestin. Ia umpawa bulu bertemu ruas kerana berlaku pertembungan Rejim Zionis dan kumpulan jihad. Ini kerana kumpulan jihad ialah orang yang tidak takut mati manakala puak Rejim Zionis pula ialah orang yang takut mati.


Semangat jihad yang tinggi ada pada diri para juang syahid memberi impak yang besar dalam menuju kejayaan jihad yang berkesan.Jihad yang berkesan meliputi perkara tersebut:
1)menguatkan sistem pertahanan dengan melakukan perancangan yang strategik
2)menubuhkan industri ketenteraan dan pertahanan agar tidak bergantung kepada bekalan senjata daripada negara Barat.
3)mewujudkan pakatan tentera di kalangan negara Islam
4)menubuhkan pertubuhan-pertubuhan sukarelawan Islam dalam membantu umat Islam yang ditinda

Tujuan jihad adalah untuk menjaga maruah umat Islam dan mempertahankan negara,harta dan diri daripada ditindas atau dijajah oleh musuh. Semasa peperangan juga terdapat adat-adat yang perlu di jaga oleh tentera Islam iaitu tidak membunuh orang yang lemah seperti kanak-kanak, wanita,orang tua dan tidak memusnahkan harta benda. Ini berbeza dengan tentera Israel yang sanggup menzalimi orang yang tidak berupaya seperti yang dilakukan pada ke atas penduduk Palestin.

Kemelut yang berlaku disana perlu kita mengambil iktibar dan perlu bersyukur kerana masih dikurniakan sebuah negara yang aman dan masih boleh hidup dalam keadaan tenang dan bahagia walaupun terdapat pelbagai bangsa dan budaya di dalam negara ini. Selari dengan matlamat yang dikatakan oleh perdana menteri kita iaitu 1malaysia. Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Tuesday, September 29, 2009

Kasih keluarga membawa ke syurga


Hadis nabi yang bermakud: dari Abdullah bin amru radiallahu anhuma, telah bersabda Rasulullah s.a.w: keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan allah daripada kemurkaan ibu bapa

Ibu dan ayah merupakan dua orang manusia yang banyak menaburkan bakti kepada anak. Bagi seorang ibu sanggup mengandungkan, melahirkan, menyusukan dan mendidik anak-anak sehingga berjaya menjadi seorang manusia yang berguna. Begitu juga seorang ayah sanggup memerah keringat untuk mencari rezeki bagi keluarganya. Jasa mereka tiada nilainya dan tidak mungkin dapat dibalas oleh anak-anak.

Melihat kepada fenomena sekarang ramai anak-anak yan menderhaka kepada ibu bapa. Mereka menanggap ibu bapa menyusahkan dan penghalang kepada segala-gala yang mereka inginkan. Ada yang sanggup menghantar ibu bapa kepada pusat penjagaan orang-orang tua dan lebih kejam ada yang sanggup bunuh ibu bapa sendiri demi harta. Jika dilihat di dada-dada akhbar banyak kes seperti anak mengugut bapa, anak menetak kepala bapa kerana wang dan banyak lagi. Seperti yang pernah berlaku di Kampung Teluk Alur Lintah, Kertih di Kemaman pada 9 Mei lalu apabila pemuda berusia 33 tahun meminta wang tunai sebanyak RM2,000 daripada bapanya untuk membeli pil dan berniaga tetapi permintaannya tidak dipenuhi menyebabkan lelaki tersebut mengugut membakar rumah dan membunuh bapanya.

Menghormati ibu bapa bererti menjaga perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Seorang anak yang menderhaka kepada ibu bapa akan berlaku kesulitan kepadanya samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Pelbagai iktibar dan pengajaran yang dipertontonkan kepada masyarakat melalui kaca tv supaya setiap insan sedar bahawa diri mereka hidup atas dasar kasih sayang ibu dan bapa.

Untuk menbina keluarga yang bahagia agar diredhai Allah perlulah diberi penekanan terhadap beberapa perkara:

i)memberi keutamaan kepada asas pembinaan keluarga iaitu akidah yang kukuh dan keimanan yang mantap kepada Allah

ii)memahami setiap tanggungjawab yang diamanahkan iaitu ibubapa memahami dan mengetahui tanggungjawab dan peranan untuk mendidik anak-anak

iii)mengakui dan bersedia menerima kejadian diri dengan menetapkan suami adalah ketua keluarga dan isteri pula perlu taat kepada suami

iv)memupuk kasih sayang yang berpanjangan antara ibubapa dan anak-anak.

APLIKASI KONSEP MUDHARABAH SEMASA




Mudharabah atau qirad menurut syarak ialah pemilik memberi kepada pengusaha harta untuk diniagakan oleh pengusaha dimana didalamnya terdapat keuntungan untuk dikongsi di antara mereka. Ia temasuk kontrak dalam muamalat Islam di bawah ishtirak iaitu perkongsian. Kini konsep mudharabah banyak dijalankan didalam perbankan terutama yang mempunyai pelaburan secara Islam dan bebas daripada faedah dan riba.


i)Akaun di perbankan Islam

Selain akaun simpanan atas asas wadiah, perbankan Islam juga menawarkan akaun simpanan mengunakan konsep mudharabah (perkongsian untung). Nama produk-produk untuk akaun ini ialah akaun pelaburan umum mudharabah atau akaun pelaburan istimewa mudharabah atau akaun semasa mudharabah.

Menurut konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya untuk mendapatkan peratusan yang lebih besar jika bank berjaya meraih pulangan lumayan. Ia adalah halal dan dipersetujui secara sepakat oleh ulama Islam. Perbezaan konsep pembahagian di sebut oleh Dr. Wahbah Az-Zuhayli didalam kitabnya antara syarat keuntungan ialah mestilah keuntungan yang ditetapkan adalah dalam bentuk juzu’ secara umum.

Deposit yang terkumpul hanya akan digunakan untuk dilabur bagi kegunaan perniagaan bank Islam yang telah dipastikan secara halal dan dilabur bagi membiayai perniagaan pihak ketiga yang juga dipastikan perniagaannya halal. Semua perniagaan ditapis oleh Majlis Penasihat Syariah dan pengurusan bank. Semua keuntungan yang bakal diperolehi adalah harta yang bersih.

Proses pemastian sesebuah produk pelaburan dan wang simpanan menepati syariah, ia dibuat menurut konsep mudharabah dalam dua bentuk iaitu bank melabur ke syarikat luar sebagai rabbul mal iaitu pelabur. Selain itu bank menggunakan wang laburan pelanggan untuk kegunaan projek-projek yang dilaksanakan dengan nisbah untung yang telah ditetapkan di awal kontrak.


ii)Perbezaan pelaburan melalui perbankan konvensional dan perbankan Islam

Perbankan Islam berbeza pelaburan daripada bank bank konvensional dimana setiap produk pelaburan perbankan konvensional, pelabur dijanjikan dengan faedah tetap. Ia sebenarnya aktiviti pinjam meminjam dengan riba.

Manakala produk pelaburan perbankan Islam mempromosikan sistem perkongsian risiko dan untung diantara pelabur dan pengurus dana pelaburan. Tiada kadar keuntungan yang tetap dijanjikan. Keuntungan akan dibahagikan berdasarkan keuntungan sebenar.


3)Sumber keuntungan halal dalam perbankan Islam

Perbankan Islam merupakan satu-satunya yang menawarkan produk pelaburan dan keuntungan secara halal. Pelbagai akad yang digunakan untuk meraih keuntungan halal tetapi asasnya terdapat dua akad yang utama antaranya pelaburan mudharabah.

Pelaburan mudharabah seperti meletakkan sejumlah wang dan dilaburkan ke dalam mana-mana syarikat yang halal untuk melakukan pelaburan. Hasil persetujuan bersama nisbah pembahagian keuntungan disepakati daripada hasil keuntungan akan diberikan kepada pelabur dan syarikat yang dilaburkan. Tiada sebarang jaminan dan janji modal atau keuntungan akan wujud. Semuanya bersifat tidak tentu bergantung kepada prestasi perniagaan yang dijalankan.

Jumlah sebenar pulangan bagi kedua-dua pihak hanya akan diketahui apabila telah lengkap tempoh yang telah ditetapkan. Ketika itu semua hasil pendapatan syarikat untuk tempoh itu akan dikira dan ditolak semua perbelanjaan dan modal asas.

Sebagai contoh jika keuntungan yang diperolehi sebanyak RM 5000, maka 20 peratus daripada RM5000 akan diberikan kepada pelabur. Bakinya akan diambil oleh syarikat yang dilabur. Pendapatan melalui cara ini adalah halal secara sepakat oleh ulama Islam dan kontemporari.

Al-Quran pedoman hidup setiap muslim


Surah al-Baqarah ayat:1-3 yang bermaksud: "alif, lam, mim. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya. Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka."



Al-Quran merupakan panduan hidup kita yang diwahyukan Allah kepada hambanya yang disampaikan oleh Rasulullah (s.a.w) melalui perantaraan Malaikat Jibril. Tidak dinafikan lagi bahawa al-Quran sentiasa terpelihara daripada tangan-tangan yang cuba mencari kesalahan dan memutarbelitkan kandungan yang terdapat di dalamnya, namun apa yang mereka ketemui hanyalah kebenaran semata-mata. Kandungan di dalam al-Quran bukan sahaja mengenai peristiwa lepas malah ia merangkumi peristiwa yang akan berlaku kelak.

Terdapat juga sesetengah pihak yang mengambil kesempatan berkenaan al-Quran dengan memesongkan akidah umat Islam dengan mengelirukan mereka berdasarkan fakta-fakta yang bertentangan dengan Islam contohnya mengatakan al-Quran terdapat kesilapan dan ia merupakan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w seperti yang ditulis seorang paderi di dalam laman web yang mana mengemukan kesalahan yang terdapat pada ayat-ayat al-Quran

Kita seharusnya jangan mudah terpedaya dan mempercayai apa yang diperkatakan mereka. Jika lihat secara dasarnya jika ia ciptaan Nabi Muhammad mengapa ia mengetahui segala apa yang akan berlaku di kemudian hari. Bagi seorang manusia yang dikurniakan akal yang sihat tidak akan mampu untuk menafsirkan peristiwa akan datang malah mengetahui segenap ilmu yang ada di dunia ini. Sebagai contoh jika kita melihat di dalam al-Quran ada menceritakan mengenai kejadian ribut di lautan. Mustahil Rasulullah mengetahui hakikat kejadian tersebut kerana beliau hidup di kawasan pasir dan bergunung-ganang jauh daripada lautan. Ini menunjukkan bahawa al-Quran merupakan wahyu daripada Allah bukan hasil ciptaan Nabi Muhammad. Pelbagai lagi bukti menerusi ayat Quran yang menunjukkan bahawa kandungannya bukan ciptaan manusia.

Al-Quran bukan seperti kitab warisan yang dibungkus kemas untuk dipamerkan, untuk melariskan jualan, mamagari rumah dan sebagainya. Ia merupakan sumber rujukan yang menjadi petunjuk dalam kehidupan di samping berupaya menangani pelbagai halangan dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat. Janganlah mendakwa diri berilmu tetapi tidak membaca al-Quran dalam kehidupan harian.

Banyak pahala yang dijanjikan oleh Allah kepada hambanya yang sentiasa mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam al-Quran. Membaca al-Quran juga dapat menenangkan hati yang dalam keresahan dan memberi petunjuk kepada jalan yang baik. Selagi mana kita berpegang kepada al-Quran nescaya kita tidak akan sesat dan disesatkan. Semoga kita mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran sebagai pegangan dan panduan hidup. Wallahu a'lam...

Saturday, September 5, 2009


Monoteisme: Kekeliruan dalam agama

Terdapat dakwaan mengatakan Islam, Yahudi dan Kristian sebagai agama monoteisme. Falsafah Barat sentiasa berusaha menempatkan agama kepada posisi yang sama. Proses perkembangan agama hanyalah hasil daripada evolusi bermula dengan dinamisme, animisme, politeisme atau henoteisme, lalu membentuk monoteisme yang dikenali sebagai agama tauhid. Menurut perspektif evolutif seperti ini, monoteisme tidak dinilai sebagai kebenaran akhir. Agama masih boleh dianggap menerima perubahan dan perkembangan.

Sebagai seorang muslim kita harus menyakini bahawa agama Islam adalah agama tauhid bukan hasil evolusi pemikiran manusia. Ia adalah agama asal dari wahyu Allah. Sejak Nabi Adam hinggalah Nabi Muhammad s.a.w, konsep tauhid yang dibawa mereka tidak pernah berubah.

Pihak Barat sentiasa mengambil peluang dengan mengelirukan fahaman dalam agama untuk menarik umat Islam terutamanya untuk menganut agama mereka. Mereka sering mengatakan bahawa semua agama adalah sama dari konsepnya iaitu menyembah tuhan. Tetapi jika kita melihat konsep tuhan versi Yahudi jelas tidak sama dengan Islam. Ini kerana Yahudi menganggap tuhan hanya untuk bangsanya sendiri, bangsa lain tidak boleh menyembahnya. Manakala Kristian pula berpegang pada konsep triniti. Hindu pula berpegang pada konsep politeisme kerana memuja banyak dewa.

Oleh itu kita harus percaya dan yakin bahawa Islam adalah agama yang kekal tidak akan berubah kerana ia datang daripada Allah dan Allah akan memelihara agamanya. Jangan mudah terpengaruh dengan anasir yang dibawa oleh Barat sehingga dapat memesongkan akidah yang suci itu. Wallahu a'lam

Monday, August 31, 2009


PERGAULAN BAIK MEMBINA KESEJAHTERAAN KELUARGA
Baru-baru ini pelbagai kes yang melibatkan gangguan seksual seperti ayah merogal anak, abang merogol adik dan datuk merogol cucu dan pelbagai lagi ganguan lain sepertimana berlaku di kuala terengganu, bapa berusia 47 tahun tergamak merogol dan mencabul kehormatan empat orang anaknya sejak berbelasan tahun lalu. Gejala seperti ini bukan lagi gejala luar biasa yang berlaku di negara kita. Ia bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Kes ini kerap berlaku dikalangan ahli keluarga sendiri. Dimanakah letaknya nilai kemanusiaan yang ada sebagai ahli keluarga. Mangsa kebanyakannya melibatkan remaja perempuan yang berusia 18 tahun kebawah, dimana saat ini mereka memerlukan kasih sayang dari keluarga bukan desakan seksual.

Malah bukan itu sahaja ramai dikalangan remaja kini semakin liar dan sukar dikawal sehingga menyebabkan masalah sosial seperti gejala penkid bagi remaja perempuan,ketagihan dadah dan merompak. Jika kita lihat disekeliling kita situasi sekarang tidak selamat walaupun berada di dalam rumah kerana terlalu banyak jenayah yang berlaku. Sebenarnya kesedaran dalam pembentukan sahsiah dalam keluarga Islam bukan sahaja perlu ditekankan kepada anak-anak, malah kedua ibubapa juga perlu mengetahui garis panduan pergaulan dan pendidikan yang diajar oleh Islam untuk membina keluarga bahagia.

Setiap ibubapa perlu menyerapkan didikan agama sejak kecil lagi untuk menanamkan keteguhan akidah. Pada mulanya anak-anak perlu diberikan pendedahan mengenai siapa dirinya dengan memperkenalkan mereka sebagai hamba yang perlu berkhidmat kepada tuhan yang menciptakan mereka dan kepada orang di sekelilingnya terutama kedua ibu bapa. Kemudian hendaklah diajar tentang tatatusila pergaulan dan berkomunikasi dengan orang lain.

Pendekatan yang digunakan untuk mendidik anak lelaki dan perempuan adalah berbeza. Ibubapa tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih di kalangan anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi role model kepada anak-anak. Segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadi contoh. Contoh yang ditunjukkkan oleh Rasulullah ialah cara interaksi dengan anak-anak kecil dengan menunjukkan rasa belas dan kasih sayang terhadap anak-anak. Pernah suatu ketika dimana Rasulullah sedang solat cucunya Hasan dan Husin memanjant belakang beliau. Beliau memanjangkan sujudnya sehinggalah mereka selesai bermain.

Selain itu perlu menanamkan amalan terpuji dalam perlakuan harian anak-anak di peringkat ia masih kecil seperti adab ketika hendak makan dan minum, memberi salam dan menghormati orang tua. Selain memberi tarbiah kepada anak-anak ibu bapa juga perlu membentuk sahsiah diri yang baik dengan mendalami penghayatan Islam dari sudut ibadah mahupun hubungan anatara manusia dan Allah. Perkara sebegini perlu diterapkan untuk membina keseimbangan dalam keluarga.

Secara keseluruhannya bukan mudah menjadi seorang ibu bapa yang cemerlang dalam mendidik anak-anak disamping membina keluarga bahagia yang dirahmati serta mendapat keredhaan Allah Taala tetapi tidak mustahil untuk memiliki mutiara tersebut..

Friday, August 28, 2009




Sebutir tamar

Sempena ramadhan yang barakah ini bersamalah kita merenungi diri kita dan amalan yang kita lakukan sepanjang tahun ini. Adakah semakin baik dari tahun ke tahun? Atau semakin buruk dan lalai di sisiNya atau kadang kala semakin baik kemudian apabila diuji ia kembali kepada kejahilan. Mengulas mengenai topik diatas, ingin saya bicarakan mengenai buah tamar yang menjadi buah kegemaran Rasulullah . Memakan buah tamar selalu dikaitkan dengan bulan ramadhan. Tidak seperti buah lain seperti epal, anggur, jambu, rambutan, durian dan pelbagai lagi. Ini menunjukkan betapa istimewanya buah tamar ini atau lebih dikenali dikalangan masyarakat kita iaitu buah kurma.

Walaupun tiada surah yang khusus tentang buah tamar tetapi Allah telah menerangkan keistimewaan buah tamar dalam surah Maryam. Pada ayat ke 25 ia menceritakan ketika mana maryam sakit untuk bersalin, Allah memerintahkan supaya beliau memakan buah tamar yang masak yang berfungsi sebagai analgesic (tahan sakit) dan dapat memberikan tenaga untuk melahirkan anaknya iaitu Nabi Isa.

Menurut pandangan Islam, anak yang dilahirkan jika diberi makan buag tamar ketika dalam kandungan akan menjadi seorang yang penyabar dan bersopan santun. Ia juga disunatkan memakan ketika berbuka puasa kerana ia dapat memberikan tenaga dan memulihkan kandungan gula di dalam badan. Rasulullah gemar makan buah tamar bersama timun kerana buah tamar panas dan manis manakala buah timun sejuk dan tawar. Ia akan dapat mengimbangkan kedua-duanya di dalam badan manusia.

Selain buah tamar yang kita jadikan ikutan Rasullullah begitu juga dalam soal ibadah. Kita haruslah mengikutinya untuk memantapkan lagi ibadah kita didalam bulan puasa ini. Pelbagai amalan yang dilakukan oleh Rasulullah seperti tadarus al-Quran, solat terawih dan solat sunat yang lain. Bulan ramadhan inilah satu-satunya bulan yang dipenuhi nikmat dan barakah. Pelbagai peristiwa berlaku dalam bulan ini antaranya kemenangan Islam ke atas pihak Quraish ketika perang Badar.

Renungkanlah wahai sahabat yang dikasihi sekalian, bulan ramadhan yang tiba pada tahun ini jadikanlah ia satu jalan untuk mendekatkan diri kepada yang Maha Esa. Kita patut bersyukur kerana kita masih diplih sebgai hambanya untuk menjalani ibadah puasa pada kali ini. Tanpa rahmat dan kasih sayangnya tidak mungkin kita akan merasai kenikmatan ramadhan yang belansung kini.

Hayatilah fadhilat ramadhan yang dikurniakan illahi sebagai satu wahdah penghubung diri kita dengan Allah. Usah biarkan ramai ini berlalu pergi dengan hampa tetapi rebutlah peluang dengan membawa segulung ijazah kemenangan dipenghujung ramadhan kelak.

Sebelum saya menutup tirai renungan tazkirah pada kali ini ingin saya mengingatkan sahabat sekalian. Jadikanlah buah kurma sebagai satu simbol dalam kita mengamalkan sunah rasulullah ketika berpuasa dibulan ramadhan. Bagi sesiapa yang tidak meminati buah kurma cuba-cuba la yer, manatau lepas ini anda akan menjadi pengemar kurma dan mengaplikasikan kegemaran tersebut dengan membuka syarikat jus buah kurma untuk dieksport ke antarabangsa....wallahua’lam

;;